sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu.” (Riwayat At Tabrani)


Tuesday, February 12, 2019

Catatan dari blog Karya Ulama beberapa catatan untuk diri dan dikongsi bersama boleh didapati pada
web http://abusyahmin.blogspot.com
Kitab Sirajul Huda (سراج الهدى) Pada Menyatakan `Aqidah Ahl al-Taqwa merupakan sebuah kitab Melayu (Jawi) dalam bidang akidah (tauhid) yang masih lagi berlegar di pasaran kitab dan menjadi teks pengajian akidah di masjid atau surau. Kitab ini telah dikarang oleh seorang ulama asal dari Sumbawa yang bernama Syaikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi al-Sumbawi.
Judul asal kitab ini sebagaimana yang disebutkan sendiri oleh Syaikh Mummmad Zainuddin al-Sumbawi di akhir kitab adalah Sirajul Huda ila Bayan ‘Aqa-idi al-Taqwa (سراج الهدى إلى بيان عقائد التقوى), yang diterjemahkan oleh beliau sebagai “ Pelita Petunjuk Kepada Menyatakan Segala Simpulan Segala Ahli Takwa ”. Kitab ini ditulis di kota Makkah, namun tidak dinyatakan tarikh bila ia diselesaikan.
Kitab ini adalah huraian (syarah) bagi kitab Umm al-Barahin, karya Imam Muhammad bin Yusuf bin `Umar bin Syu’aib al-Sanusi al-Maliki al-Hasani al-Tilimsani (832-895H) dalam bahasa Melayu. Kata al-Syaikh Muhammad al-Sumbawi dalam muqaddimah kitab ini:
“ Dan kemudian daripada itu maka sungguhnya telah meminta akan hamba oleh setengah daripada orang yang tiada meluaskan akan hamba oleh menyalahi akan dia bahawa hamba surat akan risalah yang yang indah dengan bahasa Jawi hal keadaannya menjadi Syarah atas matan Umm al-Barahin ”.
Berikut dipetik tulisan al-Marhum Tuan Haji Mohd Shaghir Abdullah mengenai kitab Sirajul Huda ini;
“Kandungan karya Syeikh Muhammad Zainuddin Sumbawa yang nombor 1, iaitu Sirajul Huda, membicarakan tauhid atau akidah Ahli Sunah wal Jamaah, perbicaraannya biasa sahaja, sebagaimana kitab-kitab tauhid dalam bahasa Melayu yang lain-lainnya.
Sungguhpun begitu, ada dua hal yang menarik untuk dipetik, iaitu pertama terdapat dua tempat bahasa yang bercorak puisi dan yang kedua, kupasannya yang panjang mengenai satu istilah yang terdapat dalam usuluddin. Salah satu daripadanya tentang mukjizat Nabi Muhammad s.a.w menghidupkan ayah dan ibunya, terdiri enam bait, empat bait bahagian akhir sebagai contoh ialah:
Maka dihidupkan ayah dan bondanya Supaya dengan dia percaya keduanya Maka terima olehmu jangan ingkarnya Kerana yang demikian itu kuasanya Telah datang hadis dalil atasnya Riwayat orang pendita rijalnya Barang siapa berkata dengan daifnya Maka ialah daif, tidak hakikatnya.”
Daripada contoh di atas, dapat dipastikan bahawa Syeikh Muhammad Zainuddin Sumbawa adalah termasuk ulama ahli penyair dunia Melayu".
Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan dan sampai sekarang masih beredar di pasaran kitab. Kitab ini dianggap antara kitab bidang tauhid yang paling banyak dijadikan teks pengajian di masjid atau surau. Kitab ini boleh dimuat turun di pautan سراج الهدى atau terus di pautan سراج الهدى. 

Semoga bermanfaat..... 

..cari ilmu...lagi dan lagi....