sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu.” (Riwayat At Tabrani)


Saturday, October 30, 2010

Umur 40? ... Kalau ibarat matahari, umpamanya dah nak mulai condong ke arah terbenam.

        sinambungan dari .... http://bahrusshofa.blogspot.com/

Life Begins At 40 ?

Tulisan ese kali ni ese tujukan khas kepada sesiapa yang menjejaki usia 40 tahun. Kata-kata "life begins at 40" sering kita dengar, apa signifikannya usia 40 tahun ni. Sebenaqnya ramai yang bila dah sampai usia 40, perasaannya pun dah berubah, apa tidaknya kerana dah mulai memasuki usia tua. Kalau ibarat matahari, umpamanya dah nak mulai condong ke arah terbenam. Jadi untuk menyedapkan perasaan maka, terungkaplah kata-kata sedemikian. Tetapi terdapat juga kebenaran dalam ungkapan tersebut. Imamuna asy-Syafi`i RA tatkala menjejaki usia 40 tahun, beliau radhiyAllahu 'anhu berjalan dengan bertongkat. Apabila ditanya kenapa beliau bertongkat sedangkan beliau masih lagi gagah untuk berjalan tanpa tongkat. Maka Imam agung ini menjawab: "Untuk aku ingat bahawasanya aku ini seorang musafir (yakni seorang musafir yang sedang dalam perjalanan ke negeri yang abadi). " ... Allahu ... Allah, "the next life begins at 40".

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali rahimahUllah menukil sebuah hadits dalam karya beliau "Ayyuhal Walad", di mana Junjungan Nabi SAW bersabda:-

من جاوز الأربعين ولم يغلب خيره شره فليتجهز إلي النار
"Sesiapa yang melepasi umur 40 tahun, tetapi kebajikannya tidak dapat mengatasi kejahatannya, maka bersedialah dia untuk ke neraka."
Hadits yang serupa juga dinukilkan oleh Syaikhul Islam Imam al-Haddad rahimahUllah dalam "Sabilul Iddikar" pada halaman 34. Juga dinyatakan dalam karya tersebut bahawa syaitan menyapu-nyapu wajah orang yang telah mencapai usia 40 tahun tetapi kebajikannya tidak melebihi kejahatannya dan berkata : "Demi ayahku, inilah wajah yang tidak akan berjaya."

Apa yang dinyatakan dalam riwayat-riwayat di atas, bukanlah untuk memutuskan harapan atau melemahkan semangat mereka-mereka yang telah mencapai atau melepasi usia 40 tersebut. Tetapi ianya hendaklah dipandang secara positif sebagai satu motivasi dan satu peringatan agar mereka-mereka yang telah mencapai usia tersebut untuk segera kembali ke jalan yang lurus, jika sekiranya mereka telah jauh dari jalan tersebut, dan bagi yang telah berada atas jalan yang lurus, biarlah tetap istiqamah dan terus mempertingkatkan ketaatan mereka. Ini adalah kerana waktu berangkat meninggalkan dunia yang fana ini semakin hampir. Maka jika sahaja para pemuda sibuk mempertingkatkan amal bekal ke negeri baqa', maka mereka-mereka yang telah mencapai usia 40 tahun ke atas hendaklah berlebih lagi. Entah berapa lama lagi masa yang ada sebelum meneruskan perjalanan ke negeri yang abadi. Bayangkanlah azabnya jika perjalanan diteruskan tanpa bekalan yang mencukupi .... Allahu ... Allah ...Rabbi sallim sallim. Maka seperti nasihat Imam asy-Sya'raani dalam "al-Bahrul Mawrud", lipatkanlah kasur kalian dan jangan tidur melainkan apabila mengantuk sangat, tingkatkan ibadah samada yang khas maupun yang umum sebagai bekalan di negeri abadi. Mudah-mudahan Allah memperbaikkan segala hal ehwal kita dan menjadikan kita tetap istiqamah atas jalan yang diredhaiNya.

Saturday, October 16, 2010

Aku pun turut menyampaikan ......

Sinambungan dari ....    http://ohbayu.com/tip-dari-rasulullah-melalui-mimpi/#more-2329

Tip Dari Rasulullah Melalui Mimpi

Sangat beruntung insan yang bermimpi Rasulullah. Kalau nak reconfirm, boleh email En Farid spt email di bawah:
Nama saya Mohammad Farid A. Hamid (faridh63@yahoo.com, telemerit@gmail.com)
Ini adalah pengakuan dan pengalaman saya. Setakat ini saya telah memberitahu kepada kawan-kawan rapat serta saudara-mara rapat sahaja.
Saya harap dengan pengakuan ini, dapatlah pengetahuan ini disampaikan kepada lebih ramai Muslimin, dan dengan itu juga berkurangan lah beban saya untuk menyampaikan. InsyaAllah dapat melepaskan diri saya dari tanggungjawab ini,sekurang-kurangnya.
Pada masa saya berumur 13 tahun, saya telah diserang demam yang amat panas, sehingga tidak boleh bangun. Kerana kesempitan hidup, saya hanya dapat makan ubat-ubat yang dibeli dari kedai serta “air badak” pemberian ibu saya.
Setiap malam, saya pasti meracau-racau, saya tidak lalu makan langsung. Ibu saya mengatakan, mata saya berkaca kerana terlalu panas, serta selalu meminta air kerana dahaga teramat sangat. Setelah hampir seminggu saya telantar di katil bujang, ibu saya dapat sedikit wang untuk membeli betik dan tembikai.
Kedua-duanya dipotong-potong dan direndam dalam air ais untuk saya makan. Setelah saya makan dengan selera terbuka, saya tertidur nyenyak.
Saya telah bermimpi yang kesemua bumi yang dipijak ini merkah, pecah dan segala bukit bukau, hutan rimba, belukar, rumah binaan, ranap dipukul ribut dan gempa.
Orang-orang bertempiran lari, serta menjerit-jerit. Yang anihnya, ada bahagian yang merkah tadi terapung-apung naik ke udara, dan ada bahagian yang jatuh laju entah kemana, bersama-sama orang-orang yang diatasnya.
Bahagian tanah yang terapung kemudiannya bercantum-cantum membentuk satu dataran yang sangat luas yang tiada apa pun diatasnya kecuali air hujan didalam lopak-lopak. Saya bersama-sama orang-orang lain yang berada di bahagian yang terapung ini berkumpul, sambil tolong menolong kerana ramai yang cedera, patah tulang serta luka-luka.
Sedang saya melutut membantu mereka yang cedera, seorang yang berjubah putih datang kepada saya dan mengatakan,
“Bacakan lah ayat-ayat ini kepada air dan berikan minum dan sapukan kebahagian yang luka serta patah, InsyaAllah akan sembuh. Ajarkan lah kepada yang lain”
Kemudian diberikan ayat-ayat tersebut seterusnya orang itu beredar. Kesemua yang selamat nampaknya mengikuti orang itu, menuju ke satu cahaya di timur.
Saya hanya sempat meihat capal yang dipakai oleh orang itu, bentuk capal yang anih serta unik. Saya turutkan suruhan orang tadi, memang terbukti berkesan.
Kemudian kami mengikuti orang-orang lain menuju cahaya itu diketuai oleh orang berjubah tadi.
Sedar saya dari tidur, saya dapati tilam saya dibasahi peluh, dan ibu saya mengatakan nafas saya terhenti henti, kemudian laju, kemudian terhenti-henti sewaktu saya tidur. Tapi, saya tidak lagi demam, dan kepala saya tidak pening lagi, terus sihat walaupun tidak bermaya.
Mimpi itu tetap bermain di fikiran saya, dan bentuk capal yang unik tu sentiasa berada difikiran. Saya selalu amalkan ayat-ayat tersebut, dan dengan izin Allah, banyak yang dapat saya bantu.
Satu hari, saya ternampak gambar didalam majalah, bentuk capal yang unik yang dipakai orang berjubah didalam mimpi saya. Capal tersebut dikatakan kepunyaan RasulAllah. Untuk mendapat kepastian, saya bertanyakan Ustadz Abdullah yang mengajar saya sewaktu itu.
Katanya, sekiranya mimpi yang dibacakan didalamnya ayat-ayat AlQuran, adalah benar, lebih-lebih lagi mimpi berjumpa RasulAllah, kerana syaitan tidak mungkin dapat menyerupai RasulAllah. Beliau kemudian dia memeluk saya, dan berkata,
“Awak amat beruntung, dapat mimpi berjumpa RasulAllah, kerana pada hemat saya mimpi awak adalah benar. Ikutilah pesan RasulAllah, dan ajarkan ayat-ayat itu kepada yang lain”.
Tuan-tuan, saudara dan saudari, saya meminta supaya sampaikan pesan ini kepada yang lain.
Bacalah…1) Surah Al-Fatihah dari Bismillah sehingga Amin, serta
2) Surah Al-Ikhlas (Tauhid, atau Qul Hu-Allah huAhad)
keatas air dan berikan minum serta sapu kebahagian yang sakit dengan niat untuk membantu dan mengurangkan sakit bagi sesiapa sahaja, kerana Allah Ta’ala. 

Itulah pesanan RasulAllah, dan saya telah menyampaikan.
InsyaAllah, diberkati Allah niat yang baik serta bantuan tuan-tuan. Tolong sampaikan dan ajarkan kepada yang lain, dan jangan minta bayaran dari pertolongan tuan-tuan.
Wassalam.
Mohammad Farid A. Hamid

Monday, October 11, 2010

Fahamilah solat anda dengan mengetahui...

Terjemahan Bacaan di dalam solat

Sinambungan dari ........ http://zana1038.blogspot.com/2005/06/terjemahan-bacaan-di-dalam-solat.html
Takbiratul-Ihram & Takbir 
Allah Maha Besar. 

Doa Iftitah 
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam. 

Al-Fatihah 
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat. 

Bacaan ketika rukuk 
Maha Suci TuhanKu Yang Maha Besar dan dengan segala puji-pujiannya. 

Bacaan ketika bangun dari rukuk 
Allah mendengar pujian orang yang memujinya. 

Bacaan ketika iktidal 
Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian. 

Bacaan ketika sujud 
Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya. 

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud 
Ya Allah, ampunilah dosaku dan rahmatilah daku, lindungilah daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku petunjuk, selamatkanlah daku dan maafkanlah akan daku. 

Bacaan ketika Tahiyat Awal 
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad. 

Bacaan ketika Tahiyat Akhir 
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung. 
Doa Qunut 
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanaMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.
*catatan : sila lihat comments untuk tambahan ilmu